Monday, June 14, 2010

Pengumuman tanpa keputusan muktamad.

KOPITIAM TALK
14 Jun 2010

Jika setiap kali sesuatu perancangan atau projek baru kerajaan diumumkan dan kemudiannya di batalkan maka ini akan menampakkan kerajaan telah membuat sesuatu keputusan tanpa pertimbangan yang semasak masaknya atau lebih dari itu ialah kerajaan tidak tegas atau tidak decisive.

Sekalipun alasan pembatalan kerana menghormati pandangan rakyat atau kerajaan bersikap demokratik tetapi jika kerap kali berlaku maka rakyat akan menggagap kerajaan tidak lagi serius, kerajaan penakut dan akhirnya rakyat hilang kepercayaan kepada kepimpinan.

Kesan lebih buruk akan berlaku apabila sesuatu pengumuman itu memberikan harapan baru kepada mereka. Umpamanya pengumuman untuk menetapkan gaji minimum kepada pengawal keselamatan yang kemudiannya ditangguhkan setelah menerima bantahan dari majikan. Terbukti dengan laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini keputusan penangguhan gaji minimum telah dibuat oleh kabinet. Penangguhan telah dibuat oleh kabinet atas alasan memberi peluang kepada majikan untuk menyelaras kos operasi mereka.

Terdapat kemungkinan kerajaan juga akan membatalkan pengeluaran lesen judi sukan. Khabarnya lesen telah pun di keluarkan dan kenyataan untuk dipertimbangkan semula dibuat setelah timbul bantahan dari orang Islam dan setelah menjadi isu politik. Adakah perkara ini yang sensitif seperti ini tidak terdaya untuk dimengerti oleh kerajaan sebelum membuat pengumuman mengenainya.

Langkah kerajaan hendak mengawal penyeludupan gula dan perbuatan menyorok gula dengan mewajibkan lesen menjual barang kepada peruncit yang telah menerima bantahan dari peniaga-peniaga Cina. Mungkin juga akan dilonggarkan atau dibatalkan terus. Setakat ini telah dilonggarkan.

Yang pasti juga akan disusuli dengan pengumuman pembatalannya ialah rancangan pembinaan Bangunan Baru Parlimen di Putrajaya.

Tidak ada sesiapapun yang waras akan menggagap suatu langkah yang wajar membuat pengumuman mengenai rancangan itu yang akan memakan belanja lebih dari RM800 juta dalam saat kerajaan hendak menjimatkan wang negara dengan memotong subsidi kepada rakyat.

Almarhum Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman pun tidak pernah terfikir semasa hayatnya bahawa Bangunan Parlimen yang diilhamkannya itu akan sekadarkan menjadi warisan pusaka yang tidak akan digunakan.

Sekalipun peruntukan berbilion ringgit telah diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk pembangunan luar bandarnya tetapi pembinaan projek mewah dan yang tidak perlu akan melindungi keutamaan projek besar untuk rakyat yang telah di war-warkan.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib nampak bijak dan mulai bertapak di hati rakyat tetapi satu dua kesilapan yang berlaku akhir-akhir ini akan menyebabkan beliau terpaksa membuang masa untuk memperbaiki kerosakan yang dilakukan oleh menteri menterinya atau pegawai pegawainya menerusi pengumuman yang tidak diperhalusi lebih dahulu atau tidak diselaraskan.

Sudah sampai masanya untuk Najib menunjukkan bahawa beliau berada pada kedudukan yang boleh mengawal.


MUSHYI ABDULLAH

0 comments:

Post a Comment