Sunday, October 9, 2011

PATI Perlu dihapuskan

Jumlah pendatang tanpa izin (PATI) yang mendaftar di bawah program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Tanpa Izin atau Program 6P yang kini mencecah setengah juta orang, menjadi bukti kebimbangan rakyat negara ini sememangnya berasas.

Sehingga kini seramai 530,625 pendatang tanpa izin telah mendaftar di 206 pejabat imigresen di seluruh Semenanjung dan Sabah. Walau pun ada yang menganggarkan jumlah PATI di negara ini mencecah dua juta, angka sebenar mungkin lebih tinggi jika berpandukan curahan kemasukan mereka.


Melihat kepada jumlah mereka yang mendaftar setakat ini, kemasukan PATI kini sesuatu yang serius dan perlu diatasi sepenuhnya.

Kita tidak menafikan dalam usaha menjadi negara maju berpendapatan tinggi, kita memerlukan pembangunan dari segi ekonomi yang sudah tentu kita memerlukan pekerja untuk menggerakkannya.

Lebih meruncing apabila sebahagian pekerjaan yang tersedia gagal diisi oleh anak tempatan sehingga memaksa kita mendapatkan pekerja asing untuk mengisi kekosongan tersebut. Kebergantungan inilah yang menjadikan akhirnya kita terperangkap dengan pelbagai masalah.

Isu kemasukan PATI yang tidak ada kesudahannya menimbulkan banyak persoalan. Apakah wujud kelemahan dalam sistem pengambilan pekerja asing di negara ini sehinggakan mereka yang masuk menggunakan permit sah, terus menetap secara haram di negara ini apabila tempoh permit mereka tamat?

Atau apakah sememangnya wujud lagi kebocoran di pintu-pintu masuk negara atau sememangnya sistem kawalan sempadan dan perairan kita yang lemah sehingga mereka mudah menyusup masuk? Atau apakah masih wujud elemen rasuah, menggunakan sindiket untuk membawa mereka masuk, dan seterusnya melindungi mereka daripada ditangkap oleh pihak berkuasa?

Memandangkan keadaan sebegini serius, ramai bertanggapan demikian.

Jika wujud kelemahan-kelemahan tersebut, ia perlu ditangani. Kita bukan hanya memerlukan pembetulan dari segi sistem yang diguna pakai sekarang tetapi juga penguatkuasaan yang bukan sahaja efisien tetapi juga berintegriti.

Usaha kerajaan melaksanakan program 6P diharap mampu mengatasi masalah ini daripada terus berlarutan memandangkan kebanjiran PATI banyak mengundang masalah. Ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara, mewujudkan masalah sosial tetapi juga menimbulkan masalah daripada aspek kesihatan.

Tanpa saringan kesihatan seperti mana yang diwajibkan ke atas mereka yang masuk ke negara ini secara sah, PATI mungkin membawa ancaman gejala penyakit berbahaya. Umpamanya, munculnya semula penyakit batuk kering yang satu ketika dulu berjaya kita hapuskan. Kemunculan semula penyakit tersebut mungkin berpunca daripada kemasukan PATI.

Walau pun kita terpaksa menerima hakikat bergantung kepada kepakaran dan kemahiran tenaga asing dalam bidang-bidang tertentu, pengambilan mereka perlu diperkemas. Merekodkan kemasukan mereka merupakan salah satu usaha bagi menggelakkan mereka menyalahgunakan permit masuk selain memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka sekiranya timbul sesuatu masalah.

0 comments:

Post a Comment