Cara parti,kerajaan dan juga Polis Di Raja Malaysia mengendalikan kes Raja Petra yang berjaya melarikan diri dari negara ini dan hingga saat ini bebas bersuka ria di London adalah mengaibkan kepimpinan negara yang mahu membina kredibiliti dan keyakinan rakyat dan juga negara luar terhadapnya.
Perkembangan kes ini yang setakat ini yang menggambarkan kerajaan berada di dalam keadaan buntu dan tidak akan dapat berbuat apa-apa, semakin meningkatkan lagi aura Raja Petra.
Terakhir kekebalan Raja Petra dihebatkan oleh kenyataan-kenyataan menteri dan Perdana Menteri sendiri berhubung dengan pengiriman wang haram kepadanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendedahkan bahawa beliau mempunyai bukti ada pihak yang menghantar RM500,000 kepada Raja Petra tetapi RM 470,000 sahaja yang sampai dan tiga puluh ribu lagi lesap.
Bagi orang ramai tentunya lah kenyataan Nazri itu yang berbutir itu adalah bertanggungjawab berasaskan punca yang sah atau difikirkan juga oleh ramai bahawa sebagai Menteri tentulah beliau mendapat maklumat dari Polis.
Bagaimanapun kenyataan Ketua Polis Negara untuk menyiasat perkara itu telah menimbulkan keraguan orang ramai sama ada Nazri membuat kenyataan yang bersifat politik atau benar-benar untuk kepentingan awam dan negara.
Atau orang ramai memikirkan bahawa Nazri lebih cekap dari polis kerana polis baru di peringkat hendak menjalankan siasatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib pula membuat kenyataan bahawa terserah kepada pihak polis untuk menentukan tindakan yang sewajarnya terhadap pengendali laman web Malaysia Today itu.
Semua ini menambahkan keyakinan rakyat bahawa apa yang berlaku di masa lalu akan berulang lagi sama seperti sekian banyak laporan polis yang telah dibuat iaitu kerajaan hanya sengaja membuat heboh tetapi tidak akan menjalankan tindakan dan tidak boleh mengambil tindakan.
Negara telah menjadi pentas sandiwara dengan berbagai laporan polis yang bertalu-talu tanpa sebarang tindakan.
Kenyataan Ketua Pemuda Malaysia Khairy yang mempersoalkan kenapa pihak berkuasa tidak mendapat kerjasama dari pihak British untuk menghantar balik Raja Petra ke Malaysia dan juga jawapan Ketua Polis Negara bahawa permintaan telah dibuat kepada pihak Interpol tetapi ditolak sejak Januari lalu telah sekali lagi mengesahkan anggapan rakyat.
Masakan Nazri tidak tahu, Menteri Dalam Negeri tidak tahu dan Perdana Menteri juga tidak tahu?
Jika sekiranya kesulitan ini telah diketahui dari awal dan tentunya di ketahui oleh Nazri dan juga Menteri Dalam Negeri apa perlu dibuat kenyataan yang boleh memberikan harapan kepada rakyat tetapi tidak akan dapat ditunaikan keuntungan politik yang didapati selain dari menyerlahkan lagi kelemahan kerajaan.
Perdana Menteri atau pihak polis mungkin tidak sensitif terhadap penilaian rakyat dalam perkara ini tetapi bagi rakyat semua ini semakin memperkukuhkan anggapan dan persepsi mereka bahawa kepimpinan tidak bijak menguruskan maklumat supaya tidak menikam diri sendiri dan tidak menjatuhkan maruah negara.
MUSHYI ABDULLAH
0 comments:
Post a Comment